Your browser isn't running scripts, so you cannot see the links available.
Make your own free website on Tripod.com
Malaysian Islamic Study Group (MISG)
Malaysian Islamic Study Group (MISG)
    Malaysian Islamic Study Group (MISG) Official Website                                                                  Site Map | Contact
   Home
   Announcement
   Background
   Committee
   Activities
   Reference
   Database/
   Membership
   Links
   Guestbook
  Search
  
Case-sensitive? Yes
Exact Fuzzy







ASPEK KELEBIHAN DAN KEISTIMEWAAN RASULULLAH S.A.W. YANG AMAT SEMPURNA
dipetik dari: Nabi Muhammad Guru dan Pendidik Terulung oleh As Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

 

Aspek Pertama: Kesempurnaan Kejadian 

1) Ketenangan wajah Baginda melahirkan kehebatan, keagungan dan pengagungan (dipandang hormat). Sehingga kaum muslimin mengutamakan diri Baginda dari segalanya dan mentaati secara mutlak kepada arahan Baginda. Baginda merupakan insan yang paling digeruni sehinggakan utusan Kisra (Raja Parsi) merasa gentar sewaktu datang menghadap Baginda. Sedangkan mereka sudah biasa dengan kebengisan Raja Kisra dan para raja yang zalim yang sentiasa bersaing di antara satu sama lain. Namun begitu, mereka tetap memandang Nabi Muhammad sebagai insan yang paling hebat dan paling agung. Baginda pula tidaklah berbangga dengan kebesaran tersebut, bahkan baginda adalah seorang insan yang sentiasa merendah diri dan terkenal dengan sifat mudah untuk berbincang dan memberikan bantuan. 

2) Wajah yang ceria melahirkan keikhlasan dan rasa kasih orang lain terhadap Baginda, tercetuslah kemesraan dan rasa cinta kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda merupakan insan yang dikasihi oleh setiap jiwa yang suka terhadap keceriaan Baginda. Sesiapa yang bergaul dengan Baginda tidak akan membenci dan orang yang mendekatkan diri juga tidak akan menjauhkan diri. Baginda lebih dikasihi oleh para sahabat melebihi kasih sayang mereka terhadap ayah dan anak-anak mereka sendiri bahkan lebih dikasihi daripada meminum air sejuk tatkala begitu dahaga. 

3) Penerimaan baik terhadap orang lain, memikat hati untuk bersegera mentaati dan menurut kehendak Baginda. Sesungguhnya penerimaan dan akur secara zahir menunjukkan ia telah menguasai hati dan jiwa raga. Musuh yang keras kepala dan yang menentang tidak lari daripadanya dan orang yang jauh pula tidak merasa dipinggirkan kecuali orang yang hasad dengki dan mengingkari Baginda. 

4) Kecenderungan jiwa untuk menuruti, istiqamah dan sabar menghadapi pelbagai dugaan getir bersama. Baginda tidak akan lari dari perjuangan. Begitu juga para sahabat yang hampir dan bergaul dengannya dalam tempoh yang lama tidak akan lari dari perjuangan Baginda.

 

Aspek Kedua: Kesempurnaan Akhlak dan Budi Pekerti 

1) Akal yang cerdik, lintasan hati yang tepat dan firasat yang benar. Kewujudan perkara ini dibuktikan oleh ketepatan pendapat Baginda, pentadbiran yang teliti dan baik pergaulan. Baginda tidak pernah cuai di dalam menghadapi tipu daya, tidak pernah lemah di dalam sebarang keadaan, bahkan Baginda sentiasa memandang jauh (berwawasan). Dan mampu menyingkap sebarang kelemahan dan merungkai sebarang permasalahan.  

2) Teguh menghadapi sebarang dugaan getir dan sabar menghadapi segala bentuk kepayahan. Walaupun Baginda diburu dan diperangi oleh musuh, Baginda tetap bertenang pada apa jua keadaan, tidak merasa lemah untuk menghadapi kesusahan dan tidak mengalah kepada dugaan yang besar. Di Makkah Baginda menerima tekanan daripada golongan Quraish dengan pelbagai perkara yang boleh memutihkan rambut (beruban kerana tekanan yang begitu kuat). Walaupun Baginda berada di dalam keadaan yang lemah, namun sifat sabar dan teguh tetap menjadi pendirian Baginda. 

3) Sifat zuhud terhadap dunia dan merasa cukup dengan apa yang ada (qanaa’h). Baginda tidak pernah cenderung kepada kemewahan dan tidak juga terpedaya dengan kenikmatan, sedangkan Baginda memerintah di antara Negara Hijaz dan Iraq dan daripada Yaman sehingga Oman. Baginda merupakan manusia yang paling zuhud terhadap apa yang disimpan dan digunakan. Ketika kewafatan Baginda, tiada harta untuk dipusakakan dan berhutang pula (iaitu hutang yang perlu dilunaskan oleh Baginda), Baginda tidak pernah menggali sungai sungai dan membina mahligai. Keturunan Baginda tiada menerima harta warisan, ini bertujuan mendidik mereka agar tidak gilakan dunia dan agar mereka juga bersifat zuhud sebagaimana yang telah dipraktikkan oleh baginda. 

4) Sikap merendah diri terhadap manusia sedangkan mereka adalah golongan pengikut dan golongan bawahan yang sentiasa mentaatinya. Baginda berjalan di pasar, duduk di atas tanah dan sentiasa bergaul dengan para sahabat. Baginda tidak pernah terbeza diantara mereka. Sifat tawadhu’ inilah yang membezakan Baginda daripada orang lain dan mengangkat martabat Baginda menjadi mulia dan dihormati. 

5) Sikap sopan, tenang dan bebas dari sebarang kedunguan. Baginda merupakan insan yang paling bersopan sewaktu berada di dalam suasana yang menggelisahkan dan menakutkan, juga paling berlapang dada di dalam sebarang perbalahan. Baginda pernah diuji dengan kekasaran orang Arab Badwi, namun kesabaran yang ditunjukkan oleh Baginda tetap tinggi. Tidak pernah terkeluar dari Rasul yang mulia ini sikap kemarahan yang mendadak. Tidaklah ada orang yang bersopan (selain Baginda) melainkan ada keterlanjurannya. Dan tiada pula orang yang tenang (selain Baginda) melainkan ada juga sesekali tergelincir dari ketenangannya. Ini kerana sesungguhnya Allah Taala sentiasa memelihara Baginda dari runtuhan hawa nafsu dan kesilapan agar Baginda sentiasa bersikap belas kasihan terhadap umatnya dan terhadap makhluk lain.

 

Aspek Ketiga: Kesempurnaan Menyampaikan Tutur Bicara 

1) Allah mengurniakan hikmah yang tinggi dan ilmu yang melimpah ruah, sedangkan Baginda adalah seorang yang ummi: tidak mampu membaca dan tidak pula pernah menuntut ilmu secara formal dan tidak juga pernah berdamping dengan mana-mana ilmuan atau guru yang mengajar. Sungguhpun demikian, Baginda mengajar ilmu yang mencabar minda dan amat mengagumkan. Ini kerana kecerdikan dan kehebatan memberi penjelasan dan apa yang disampaikan dimana tiada berlaku kesilapan di dalam perkataan ataupun tindakan Baginda. 

2) Menghafaz setiap ilmu yang dikurniakan oleh Allah Taala kepadanya seperti kisah para Nabi bersama umat mereka dan berita di zaman silam. Tiada suatu perkara pun yang dilupakan oleh Baginda samada yang kecil atau yang besar. Baginda tidak pernah mencatat apa yang dipelajarinya dan juga tidak pernah menghafaznya secara serius (perhatian yang sepenuhnya). Ini kerana Baginda memiliki minda yang bernas, dada yang lapang dan hati yang terbuka, di mana ketiga-tiga perkara ini merupakan suatu alat yang dikurniakan kepada sesiapa yang menerima pangkat kerasulan dan memikul tugas tersebut agar dia layak untuk menjadi insane yang diutuskan dengan syariat Allah dan melaksanakannya. 

3) Mengukuhkan ajaran syara’ dengan dalil yang paling jelas dan menghuraikannya dengan alasan yang cukup rasional. Ini bertepatan dengan sabda Baginda yang bermaksud: 

“Daku dikurniakan dengan kata-kata yang ringkas lagi padat, dan kata-kataku dijadikan ringkas (tanpa mengurangkan maknanya) kerana mengingatkan tentang banyak perkara.” 

Tutur bicara yang ringkas tanpa perlu menjelaskannya secara panjang lebar tidaklah mudah dilakukan oleh Baginda melainkan kerana Baginda telah dipimpin secara langsung oleh Allah Taala. 

4) Baginda sentiasa menyeru kepada akhlak yang mulia, dan adab yang terpuji, juga menggesa agar silaturrahim digabungkan dan menggalakkan sifat belas kasihan terhadap golongan yang lemah dan anak-anak yatim. Seterusnya Baginda melarang sikap saling benci membenci, hasad dengki dan memutuskan silaturrahim, dengan ini sifat-sifat yang terpuji akan terserlah di dalam diri mereka. Seterusnya akhlak yang mulia ini akan tersebar dikalangan mereka dan semakin terserlah. Justeru itu, mereka terus berlumba-lumba menyebarkan akhlak yang mulia dan terus meninggalkan kejahatan. Sebenarnya mereka telah berjaya merealisasikan apa yang Allah Taala rakamkan di dalam Quran yang bermaksud: 

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (buruk dan keji).” 

Mereka mentaati arahan Allah dan menjauhi segala laranganNya, sempurnalah bagi mereka kebaikan dunia dan akhirat. Hasilnya, Islam menjadi gah melalui tangan-tangan mereka, fahaman syirik roboh walaupun dahulunya kuat, akhirnya mereka menjadi pemimpin yang mulia dan baik. 

5) Jawapan yang jelas apabila disoal, kemantapan hujah ketika berdebat. Baginda tidak pernah merasa lemah semangat untuk meneruskan perjuangannya, manakala para musuh pula tidak mampu membidas hujah-hujah yang dibawa oleh mereka kerana hujah Baginda adalah jelas lagi mantap. 

6) Lidah Baginda sentiasa terpelihara daripada sebarang perkataan yang silap, lebih-lebih lagi kata-kata yang mengandungi kedustaan. Sesungguhnya Baginda memang terkenal dengan sifat benar semenjak dari kecil lagi sehingga digelar al-Amin. Dan sebelum kedatangan Islam, seluruh bangsa Quraish amat menyakini sifat benar Baginda tetapi setelah Baginda menzahirkan kenabiannya, mereka secara terang-terangan mendustakan Baginda. Bagi mereka yang telah biasa dengan sikap benar semenjak dari kecilnya, setelah dewasa sifat ini akan menjadi lebih teguh. Sesiapa yang memelihara hak dirinya, maka nescaya dia mampu memelihara hak-hak Allah Taala. 

7) Menyusun bicara sewaktu mengungkapnya mengikut keperluan tanpa perlu panjang berjela-jela. Baginda juga mampu menuturkan kata-kata yang mampu memahamkan orang lain. Selain dari keaadaan itu, Baginda merupakan insan yang memiliki keadaan yang paling indah sewaktu berdiam diri. Sebab itulah kata-kata Baginda dan keindahannya terpelihara agar ia tidak rosak dan cacat, di mana mulut merasa serasi menyebutnya sekaligus melekat di dalam hati. 

8) Baginda merupakan manusia yang paling fasih lidahnya, penerangannya amat jelas, perkataannya amat ringkas dan lafaznya padat, memberi makna yang paling tepat, tidak terkeluar dari lidahnya perkataan yang tidak baik dan tidak pula berjela-jela. Kebanyakan bicara Baginda ringkas lagi padat, ini telah dirakamkan di dalam bentuk tulisan yang tidak dapat ditandingi dari sudut kefasihan dan sastera. Walaupun demikian, kalam baginda tidak terhingga banyaknya dan sukar dihimpun kesemuanya. Jikalah dicampuradukkan ucapan Baginda dengan perkataan orang lain, nescaya kalam Baginda masih boleh dibezakan. Ini kerana ucapan Baginda tidak akan tercampur di antara hak dan batil, yang benar dan yang palsu.

 

Aspek Keempat: Kesempurnaan Amalan dan Tindakan 

1) Dengan perjalanan hidup yang sempurna dan pengurusan yang bijak, Baginda telah berjaya mengubah budaya jahiliah yang telah lama bertapak kepada budaya baru yang unggul. Perkara ini bukan sesuatu yang mudah melainkan mereka yang mendapat Inayah dan pertolongan dari Allah yang Maha Kuasa dengan dibantu oleh faktor keazaman yang cekal dan kenekadan yang teguh. 

2) Menghimpunkan aspek targhib (memberikan khabar gembira) dan tarhib (mendatangkan berita yang menakutkan) sehinggalah Baginda berjaya menghimpunkan manusia yang bersedia membantu Baginda di dalam perjuangan. Mereka melaksanakan tugas da’wah kerana mengharapkan kebaikan di dunia dan akhirat. Ketaatan manusia tidak akan berkekalan melainkan dengan adanya dua perkara ini. Malah dengan dua perkara ini jualah agama meneruskan kelangsungannya dan kebaikanya juga terus berkekalan. 

3) Dalam mendidik, Baginda menjauhkan ajaran Islam daripada ciri-ciri terlalu berlebih-lebihan dan terlalu alpa pada kesederhanaan, kerana sebaik-baik perkara itu ialah pertengahan. Setiap perkara yang melampaui keadilan itu bukanlah suatu perkara yang tepat dan benar.

4) Baginda mendidik para sahabat Baginda agar tidak cenderung kepada kenikmatan dunia dan tidak pula menolaknya secara total, tetapi mengarahkan kepada mereka agar bersederhana. Ini bertepatan dengan sabda Baginda yang bermaksud: 

“Sebaik-baik kamu adalah yang tidak meninggalkan dunianya kerana terlalu mengejar akhirat dan tidak pula meninggalkan akhiratnya kerana mengejar dunia, bahkan yang terbaik di kalangan kalian adalah yang mengimbangi di antara kebaikan dunia dan akhirat.”

Perkara ini memang tepat, kerana mengutamakan salah satu darinya adalah satu kesilapan manakala menghimpunkan dua perkara tersebut adalah suatu keseimbangan.

 5) Menerangkan ciri-ciri ad Din dan hukum-hakam kepada umat serta mengajar ibadah yang telah Allah fardhukan keatas mereka. Menjelaskan perkara-perkara yang diharuskan dan yang dilarang, menghuraikan permasalahan jual-beli, nikah kahwin dan mualamat. Sehinggakan Ahli kitab dalam hal muamalat dan hukum perwarisan, mereka rujuk kepada Baginda, sedangkan tidak sedikit pun syariat Baginda yang memerlukan penyempurnaan dari syariat lain. Kemudian Baginda menyediakan beberapa asas dan kaedah yang menjadi rujukan kepada kejadian-kejadian yang belum berlaku. Hukum-hakam mengenainya dapat dirujuk dari kaedah-kaedah tersebut tanpa perlu lagi kepada sebarang nas setelah wahyu terangkat. Kemudian Baginda menerangkan perkara usul (pokok) yang menjadi panduan kepada perkara yang masih belum berlaku. Maka dibuat kesimpulan hukum yang serupa (yang mempunyai alasan yang serupa), perkara ini dipanggil qias di dalam ilmu usul fiqh dan ianya dapat digunakan walaupun nas Quran telah tamat penurunannya. Baginda juga mengarahkan kepada orang yang hadir di dalam majlis Baginda agar menyampaikannya kepada orang lain agar tersebarlah ajaran dan peringatannya. Sabda Baginda yang bermaksud: 

“Sampaikanlah dan janganlah kalian melakukan pembohongan keatasku, barangkali orang yang mendengar lebih faham dan ingat daripada orang yang menyampaikannya dan mungkin orang yang faham menyampaikannya kepada orang yang lebih faham darinya.” 

Baginda menjelaskan hukum syara’ dengan menggunakan nas dan pentaklifan hukum. Arahan Baginda menyeluruh kepada semua manusia samada yang jauh atau yang dekat. Baginda telah melaksanakan tuntutan syariat dan menyempurnakan hak-hak umat, agar Baginda tidak mengurangi hak-hak Allah Taala dan hak-hak umat seluruhnya. Perkara yang demikian berlaku semasa hayat Baginda di dalam waktu yang singkat kerana Baginda mampu melaksanakan seluruh tugas tersebut. Ini adalah mukjizat yang dikurniakan Allah Taala terhadap Baginda.

 6) Tabah menghadapi dan memerangi musuh yang telah mengepung Baginda. Sewaktu Baginda dipulaukan di satu kawasan yang terhad dan bilangan pengikut yang terlalu kecil, tetapi akhirnya bilangan yang sedikit ini semakin bertambah dan mereka yang merasa hina terus merasa mulia. Baginda digeruni kerana berterusan memerangi musuh dengan tabah dan hasil kegerunan ini Baginda memperolehi kemenangan.

Rasul mulia ini berjaya menghimpunkan dua perkara iaitu beriltizam dengan agama sehinggalah tersebar luas, dan yang kedua ialah memerangi musuh-musuh Allah Taala sehinggalah Baginda memperolehi kemenangan. Sesungguhnya menghimpunkan kedua-dua perkara ini adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku melainkan bagi mereka yang mendapat pertolongan dan Inayah dari Alah yang Maha Kuasa, dimana perkara ini merupakan suatu mukjizat. 

7) Sikap gagah berani yang tersendiri di dalam medan jihad, teguh di dalam memerangi musuh musuh Allah Taala. Baginda tidak sesekali memasuki mana-mana peperangan dengan hati yang gementar bahkan kesabaranlah merupakan akhlak dan senjata ampuh yang dimiliki oleh Baginda. Berjuang sehinggalah terserlah kemenangan atau cuma bertahan, di dalam keadaan begini pun Baginda masih tidak gentar menghadapi mereka, bahkan hati Baginda tetap teguh, utuh dan tenang.  

8) Sikap pemurah yang dikurniakan oleh Allah Taala sehingga Bagindalah merupakan manusia yang paling pemurah. Rasulullah memperkenankan setiap permintaan sehinggalah ketika wafat, baju besi Baginda dipajak pada seorang Yahudi bagi mendapatkan beberapa cupak gandum untuk makanan keluarga Baginda. Walaupun Baginda Rasul telah menguasai semenanjung tanah Arab termasuklah raja-raja mereka yang memiliki khazanah harta yang melimpah ruah. Mereka menyimpannya dan bermegah-megah dengannya, menggunakan harta-harta tersebut secara sombong dan tidak menurut cara yang diredhai Tuhan. Pada hal, Rasulullah telah mengusai seluruh takhta dan kerajaan, Baginda tidak sesekali menyimpan walaupun cuma satu dinar atau satu dirham. Baginda tidak makan kecuali makanan yang keras dan liat, begitu juga dengan pakaian Baginda yang hanya diperbuat dari kain-kain dari jenis yang kasar. Bahkan segala harta disedekahkan dengan jumlah yang begitu besar sekali. Baginda juga meneruskan tali persaudaraan dengan ramai orang. Baginda pernah merasa kepahitan hidup sebagai seorang fakir dan sentiasa bersabar terhadap kelaparan dan kebuluran.

Dan apabila diminta sesuatu sedangkan tidak mempunyai apa-apa, Baginda akan menyuruh sipeminta tersebut agar membeli barang tersebut dengan menggunakan nama Baginda (iaitu Bagindalah sendiri yang akan menjelaskan harganya) dan tidak sesekali Baginda menghampakan permintaan seseorang dengan tangan kosong. Diriwayatkan daripada Sayyidina Umar Al-Khattab bahawa seorang lelaki dating meminta sesuatu daripada Nabi, lantas Baginda menjawab: Tidak ada sesuatu pun disisiku, tetapi belilah barang keperluanmu daripada orang lain atas namaku, setelah ada nanti, daku akan melunaskan bayarannya. Berkata Sayyidina Umar: Wahai Rasulullah, sesungguhnya dikau telah memberi kepadanya, sedangkan Allah Taala tidak sesekali membebankanmu dengan perkara yang dirimu tidak mampu. Lantas Baginda merasa tidak senang hati dengan kata-kata Sayyidina Umar itu. 

Maka selayaknyalah bagi insan yang telah mencapai puncak kesempurnaan untuk menjadi pemimpin dunia. Tidaklah wujud puncak kemuliaan melainkan setelah seseorang dipilih oleh Allah untuk menjadi Nabi, maka semestinyalah dia adalah yang paing layak. Justeru itulah sifat-sifat kemuliaan ini terus menjadi mantap dalam diri Baginda tatkala dibangkitkan menjadi Rasul. Baginda mampu melaksanakan tugas dan amanah yang dipikulkan Allah keatasnya lantaran sifat-sifat tersebut telah sebati di dalam diri Baginda.

Home | Announcement | Background | Committee | Activities | Reference | Guestbook | Links
Copyright MISG © 2001. All rights reserved.
Questions, suggestions or comments? Please contact our Webmaster. Copyright © 2001.